Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam
peperangan Khandaq, “…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan
tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik
tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel
untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis
tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui
kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di
zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan
Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid
dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya
sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau
menjawab, “Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang
akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel”.
Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun
kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah
dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan
baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan
“sebaik-baik tentera” dalam hadis tersebut?
Baginda
Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis
(sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda
sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah
disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali
dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan
Konstantinopel.
Baginda
menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun
(1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera
agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei
1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.
Baginda
menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan,
gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan
Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar
tentang taktik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima
tentera.
Dalam
bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang
fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia,
Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya
Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau
Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan
Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah
musuh.

Baginda
sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda
membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan
menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa
tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan.
Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai
permasalahan negara.
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota
Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga
mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan
panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk
digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam
besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli
Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota
Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan
dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh
Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang
melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia,
Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang
bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu
Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah.
Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang
pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan
kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin
menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan
dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding
luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih
tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera
Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding
tengah kubu mereka.
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan
senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi
untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat
tentera Bizantin.
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan
dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden
Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas
gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik
ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di
dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil
dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam
Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil
kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta
mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada
Allah SWT.
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu
dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit
pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya
berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan
menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda
berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk
mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda
mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu
musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid
setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu
bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah
Allahu Akbar.
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda
menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies
ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke
dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi
gelaran “Al-Fateh” iaitu yang bermaksud “pembuka” atau “penakluk” lantaran
kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul
pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua
tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak
baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila
duduk!” Tiada seorang pun yang duduk, kerana
tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak
baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!”
Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu
sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun
satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad
Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat
rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah
diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat
serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan
ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah
menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk
kota hebat Konstantinopel.







